أهلا و سهلا و مرحبا بكم

Rabu, 31 Mac 2010

PENUBUHAN GALAKSI



Setinggi-tinggi kesyukuran dirafa’kan kehadrat Allah s.w.t di atas tertubuhnya Gagasan Mahasiswa Luar Kampus Insaniah ataupun singkatannya GALAKSI.
GALAKSI sebenarnya merupakan cetusan idea daripada ibunda kita Ustazah Azlina Zakaria, yang merupakan mantan Dekan Hal Ehwal Pelajar. Beliau  amat mengharapkan agar kebajikan mahasiswa yang tinggal di luar kampus terutamanya di rumah-rumah sewa dititikberatkan. Selain itu, rungutan daripada segelintir mahasiswa yang tinggal di luar yang menyatakan mereka tiada tempat atau ruang untuk bergerak aktif dalam persatuan, selain ketinggalan dari segala informasi-informasi terkini merupakan salah satu faktor GALAKSI diwujudkan.
MPM kali ini mensasarkan kebajikan mahasiswa sebagai titik utama dalam segala hal yang dilaksanakan. Sehubungan dengan itu, melalui Biro Penempatan dan Tugas-Tugas Khas, MPM kali ini berpendapat penubuhan GALAKSI adalah amat relevan dan dapat membantu kami dalam memastikan kebajikan mahasiswa di luar kampus lebih terjaga.
Banyak perbincangan telah diadakan oleh Biro Penempatan sendiri dengan pelbagai pihak sebelum kami membuat keputusan untuk menubuhkan GALAKSI ini. Sehubungan dengan itu,kami menerima pelbagai respon dan mengambil kira pandangan yang dilontarkan kepada kami.
Penubuhan GALAKSI bukanlah satu penubuhan ‘syok sendiri’ sepertimana yang selalu dilabel oleh mahasiswa terhadap sesetengah persatuan-persatuan atau kelab-kelab atau program-program yang dijalankan. Namun bukanlah ingin menyatakan siapa yang terbaik, apa yang menjadi keutamaan kami adalah menyatukan semua mahasiswa agar selari di bawah satu naungan  agar  kebajikan mereka lebih terpelihara.


Di antara objektif  lain  juga adalah membentuk mahasiswa yang lebih peka dengan segala isu dan cemerlang dari semua segi.
Sehubungan dengan itu, satu unit mandub atau perwakilan akan diwujudkan di bawah GALAKSI. Unit ini akan bertindak sebagai unit informasi bagi semua rumah sewa yang ada. Ianya akan diwakili oleh setiap kawasan yang telah dikenalpasti melalui borang yang telah mereka isi yang dikeluarkan oleh pihak pendaftar di jabatan Hal Ehwal Pelajar.
Bagi menggerakkan GALAKSI, pihak kami telah melantik beberapa jawatankuasa penaja  supaya penubuhan GALAKSI tidaklah hanya di atas kertas semata-mata. Melalui jawatankuasa penaja yang dipengerusikan oleh saudara Mohd Faiz bin Mohd Arsyad, satu statistic mahasiswa luar kampus telah dibuat bagi mengenalpasti kedudukan semua mahasiswa yang bertaburan di luar. Pemetaan kawasan juga telah dilaksanakan bagi memudahkan lagi gerak kerja semua pihak.
Akhir kalam, pihak Majlis Perwakilan Mahasiswa  merakamkan jutaan terima kasih kepada Cik Ira Fadila Bt Mohd Yusoff,penolong pendaftar, Jabatan Hal Ehwal Pelajar di atas bimbingan dan komitmen yang tinggi yang beliau berikan kepada kami dan setinggi penghargaan kepada semua pihak yang menyokong dan membantu bagi menjayakan penubuhan GALAKSI.

Sekian,
PENGERUSI B.P.T

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.